Wednesday, 16 May 2012

iBaDaH SoLaT



APA ITU SOLAT?

Perkataan "Solat" bermaksud  DOA dan menurut istilah syarak, solat ialah beberapa perkataan dan perbuatan yang didahului dengan takbir dan diakhiri salam dengan syarat-syarat tertentu. Sebelum melakukan ibadat solat, seseorang itu mestilah terlebih dahulu menyucikan diri daripada hadas dan najis. Sekiranya ibadat solat itu dilakukan dalam keadaan dirinya kotor, maka amalan tersebut tidak sah. Solat merupakan tanda pertalian terus seorang hamba dengan Allah.





Islam memfardhukan ke atas umatnya melaksanakan solat wajib sebanyak lima waktu sehari semalam, iaitu:

    Solat Asar sebanyak 4 rakaat
    Solat Maghrib sebanyak 3 rakaat
    Solat Isyak sebanyak 4 rakaat
    Solat Subuh sebanyak 2 rakaat
    Solat Zohor sebanyak 4 rakaat

HUKUM BAGI ORANG YANG MENINGGALKAN SOLAT

    Orang yang meninggalkan solat boleh mendedahkan diri kepada kekufuran kerana meninggalkan Rukun Islam.
    Orang yang mengingkari kewajiban solat adalah kufur kecuali dia baru menganut agama Islam sedangkan dia belum mengetahui hukum wajibnya.
    Bagi yang meninggalkan dengan sebab segan atau malas tetapi mengakui kewajiban solat, terdapat dua pendapat mengenai perkara ini :
    a) Menurut Abu Hanifah ; Tidak menjadi kafir tetapi boleh dikenakan hukum takzir serta dipenjarakan sehingga dia kembali solat. Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja ini termasuk dalam orang yang berdosa.
    b) Menurut Saidina Ali dan Imam Ahmad Hambal ; Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja hukumnya kafir kerana mengingkari perintah Allah
    Kesimpulannya : Orang yang meninggalkan solat disebabkan malas atau sengaja adalah fasik, kerana telah melakukan dosa besar iaitu mengabaikan salah satu daripada Rukun Islam.


DALIL YANG MEWAJIBKAN SOLAT

Firman Alah s.w.t yang bermaksud :
1] ... maka dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu suatu kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang mukmin. (an-Nisa ... 103)

Hadis Rasulullah s.a.w :
1] Solat itu tiang agama, sesiapa yang mengerjakannya, dia akan menegakkan agamanya. Sesiapa yang meninggalkannya, dia akan meruntuhkan agamanya. ( Riwayat Baihaqi )



2] Suruhlah anak-anak kamu mengerjakan solat apabila berusia tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya bila berumur sepuluh tahun dan pisahkanlah mereka di tempat tidur. (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Al - Hakim)

SYARAT-SYARAT WAJIB SOLAT
    Islam
    Baligh
    Berakal

WAKTU YANG DIMAKRUHKAN SOLAT TANPA SEBAB-SEBAB TERTENTU
    Selepas solat subuh sehingga matahari naik.
    Ketika matahari naik dengan kadar segalah
    Ketika matahari berada tegak di atas kepala.
    Selepas solat asar sehingga matahari jatuh.
    Ketika matahari terbenam.


RUKUN SOLAT

    Niat
    Takbiratulihram
    Berdiri betul bagi orang yang berkuasa
    Membaca surah al - Fatihah
    Rukuk serta tamakninah
    Iktidal
    Sujud
    Duduk di antara dua sujud
    Duduk tahiyyat akhir
    Membaca tahiyyat akhir
    Membaca selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w
    Salam pertama
    Tertib

PERKARA YANG MEMBATALKAN SOLAT
    Meninggalkan salah satu daripada rukun solat.
    Berkata-kata dengan sengaja.
    Bergerak lebih daripada 3 kali berturut-turut.
    Terkeluar sesuatu daripada qubul atau dubur.
    Terdapat najis pada badan dan pakaian.
    Aurat terbuka.
    Mengubah niat solat.
    Membelakangkan kiblat.
    Makan walaupun sedikit.
    Minum
    Ketawa
    Murtad

LATIHAN PEMANTAPAN :
a) Nyatakan pengertian solat dari segi bahasa dab istilah? (2 markah)
b) Nyatakan syarat-syarat sah solat? (5 markah)
c) Senaraikan 3 perkara yang membatalkan solat? (6 markah)
d) Nyatakan hukum dan alasan bagi masalah berikut :
     i) Ali solat Fardhu Subuh tetapi tidak yakin masuk waktu.
     ii) Yusuf tidak memalingkan mukanya ke kanan ketika memberi salam yang pertama.

iBaDaH wUdHuk



Apakah Itu Wudhuk?

Pengertian Wudhuk :
Membasuh atau menyapu anggota badan yang tertentu di dahului dengan niat.


Rukun Wudhuk :

 1- Niat : "Sahaja aku mengambil wudhuk kerana Allah Taala" atau "Sahaja aku mengangkat hadas kecil kerana Allah Taala".
 2- Membasuh muka. Anggota muka ialah dari atas anak-anak rambut sehingga bawah dagu dan dari
     anak telinga kanan ke anak telinga kiri.
 3- Membasuh kedua-dua tangan hingga ke siku.
 4- Menyapu sebahagian kepala.
 5- Membasuh kedua-dua kaki hingga ke buku lali.
 6- Tertib.

Perkara-perkara Sunat ketika Wudhuk :
 1- Mulakan dengan Bismillah.
 2- Membasuh kedua-dua pergelangan tangan.
 3- Berkumur-kumur.
 4- Masukkan air ke dalam hidung dan mengeluarkannya semula.
 5- Menyapu keseluruhan kepala.
 6- Membasuh kedua-dua telinga.
 7- Menggosok celah-celah jari tangan dan kaki.
 8- Mengulangi setiap perbuatan sebanyak 3 kali.
 9- Berdoa selepas berwudhuk.


Perkara-perkara Makruh ketika Wudhuk :
 1- Membasuh anggota Wudhuk melebihi 3 kali.
 2- Berkumur-kumur secara berlebihan ketika berpuasa.
 3- Mendahului anggota sebelah kiri.
 4- Bercakap-cakap ketika berwudhuk.

Perkara-perkara yang membatalkan Wudhuk :
 1- Keluar sesuatu daripada qubul & dubur.
 2- Bersentuh kulit antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim.
 3- Hilang akal sama ada disebabkan mabuk, gila, pengsan dan seumpamanya.
 4- Tidur yang tidak tetap kedudukan punggung.
 5- Menyentuh kemaluan dengan tapak tangan tanpa berlapik.

Adab-adab ketika berwudhuk :
 1- Mulakan dengan Bismillah.
 2- Berjimat menggunakan air.
 3- Mengadap ke arah Kiblat.
 4- Tidak bercakap ketika berwudhuk.
 5- Menjaga diri dari terbuka aurat.

Kelebihan (Hikmah) Wudhuk :
 1- Membersihkan anggota yang terdedah daripada kekotoran.
 2- Membentuk peribadi yang seimbang rohani dan jasmani.
 3- Melahirkan individu yang beradab sopan.
 4- Menghapuskan dosa-dosa kecil.
 5- Membangunkan minda dan menyegarkan jiwa.

LATIHAN PEMANTAPAN :
 a)  Apakah pengertian Wudhuk? (2markah)
 b)  Bila masanya kita wajib berwudhuk dan terangkan sebab-sebabnya? (3 markah)
 c)  Jelaskan 2 hikmah berwudhuk? (4markah)
 d)  Nyatakan hukum Wudhuk bagi permasalahan berikut dan alasannya :
          i.  Ahmad berwudhuk menggunakan air kelapa (2 markah)
         ii.  Aminah berwudhuk tanpa menyapu kedua-dua telinganya (2 markah)
        iii. Ali bersembang-sembang ketika berwudhuk (2 markah)

pEnDiDiKaN IsLaM


   

Pendidikan Islam bermaksud memberi pendidikan kepada anak-anak atau murid-murid/pelajar berdasarkan ajaran Islam.  Mendidik juga bermaksud mengasuh, menjaga dan membelai supaya seseorang anak itu menjadi baik.  Baik di sini tentulah baik pada pandangan Islam.  Ilmu pengetahuan yang diberi itu ialah suatu wadah dalam pendidikan.  Justeru ilmu belum tentu mendidik, dan memberi ilmu juga belum tentu  lagi memberi pendidikan. 

    Mendidik ialah kata-kata nasihat supaya murid melakukan sesuatu yang baik.  Menasihati murid supaya melakukan suruhan Tuhan seperti solat, beradab dengan ibu bapa dan guru adalah pendidikan.  Menasihati murid supaya belajar dengan baik dan tekun adalah pendidikan.  Menjaga kebersihan diri, bilik darjah, kawasan sekolah, kantin, padang adalah tuntutan Islam.  Kekemasan diri, bilik darjah, kawasan rumah,   juga tuntutan Islam.  Menasihati pelajar atau murid melakukan semua ini ialah pendidikan Islam namanya.

     Berdasarkan kepada takrifan ini bermakna, tugas pendidikan Islam  bukan terletak kepada ibu bapa dan guru agama sahaja, malah kepada semua orang Islam.  Kalau di rumah, ibu bapa dan keluarga itu yang bertanggungjawab memberi pendidikan Islam.  Manakala di sekolah pula, semua guru yang beragama Islam adalah bertanggungjawab memberi pendidikan Islam kepada semua murid Islam.  Guru agama atau istilah sekarang guru Pendidikan Islam, lebih luas tanggungjawabnya; pertama menyampaikan pengetahuan Islam dan kemudian mendidik dengan pendidikan Islam.  Masyarakat pula bertanggungjawab untuk menghidupkan budaya Islam di dalam masyarakat.   Ini termasuklah percakapan, pergaulan, permainan, urusan harian dalam hal ekonomi, politik, sosial, teknikal dan sebagainya.