Friday, 18 May 2012

iBaDaH TaYaMmUm




Apa Itu Tayammum?

Tayammum ialah menyapu debu ke muka dan kedua tangan sampai ke siku, menggunakan debu yang suci dengan beberapa syarat. Tayammum adalah sebagai ganti dari wuduk atau mandi. Tayammum dari segi istilah syarak adalah menggunakan tanah yang bersih dan suci seperti debu atau pasir bagi menyapu muka dan tangan untuk mengangkat hadas dengan syarat-syarat tertentu  sebagai pengganti wuduk atau mandi wajib (mandi junub).

Dengan tayammum seseorang hanya boleh mengerjakan satu ibadah yang fardu saja dan ditambah dengan ibadah yang sunat-sunat.

Tayammum disyariatkan berdasarkan Al Quran dan sunah. Allah SWT berfirman, "[43] Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) kecuali kamu hendak melintas sahaja hingga kamu mandi bersuci dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu) yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun." (An-Nisa: 43).

Syarat-syarat tayammum
  1)  Sudah masuk waktu.
  2)  Tidak mendapat air setelah berusaha mencari.
  3)  Dengan debu yang suci.
  4)  Berhalangan menggunakan air disebabkan sakit.
  5)  Suci dari najis.

Rukun (Fardhu) tayammum ada empat:


1)   Niat, dengan lafaz “Sengaja aku bertayammum untuk membolehkan mengerjakan solat kerana Allah   Ta’ala”.
2)   Mengusap muka dan dua telapak tangan sampai ke siku cukup sekali dengan debu yang suci
3)   Meratakan debu yang suci itu pada seluruh anggota tayammum, iaitu muka dan kedua tangan
4)  Tertib melakukannya.

Cara-cara Bertayammum:

 1)   Meletakkan dua belah tangan di atas debu untuk disapukan ke muka.
 2)  Menyapu muka dengan debu, dua kali
 3)  Menyapu kedua belah tangan sampai ke sikut dengan debu
 4)  Mentertibkan rukun.
   * Anggota tayammum adalah muka dan dua tangan (hingga ke siku) sahaja. Kaki tidak termasuk sebagai   anggota tayammum.

Sunat Tayammum:

1)  Membaca bismillah
2)   Menipiskan debu
3)    Mendahulukan yang kanan dari yang kiri
 4)   Tertib

 
Perkara Yang Membatalkan Tayammum:

1)   Setiap yang membatalkan wuduk
2)  Ada air (melihat air sebelum solat) kecuali kerana sakit
3) Murtad

Kes-kes Tertentu berkenaan Tayammum:
Bila Tayammum Dan Wuduk Boleh Digabungkan?

Ada ketikanya bila Tayammum dan wuduk boleh digabungkan untuk menyempurnakan pembersihan seseorang daripada hadas kecil. Umpamanya, seorang Muslim itu mengalami mudarat (seperti tangan disimen kerana patah) ataupun mempunyai tempat luka yang tidak boleh terkena air, dan sekiranya terkena air boleh menambahkan lagi mudarat, orang tersebut dibolehkan menyucikan bahagian dirinya yang sihat secara wuduk biasa. Bahagian wuduknya yang tidak boleh terkena air tadi boleh dibersihkan dengan cara tayammum sahaja.

Sekiranya bahagian kaki tidak boleh terkena air, wuduk bahagian itu juga digantikan dengan tayammum (di muka dan dua tangan).

Bersolat Dengan Bertayammum Dan Kemudian Mendapati Ada Air?

Apabila seseorang itu memulakan solatnya setelah bertayammum dan di pertengahan dia mengerjakan solatnya, tiba-tiba bekalan ataupun sumber air kembali pulih, dia boleh meneruskan dan menghabiskan solatnya tanpa memberhentikan solatnya. Solat itu sah dan dia tidak perlu mengulangi solat tersebut.

Sekiranya seseorang itu menunaikan solat dengan hanya bertayammum kerana ketiadaan air, dan selepas itu meneruskan perjalanannya dan kemudiannya berjumpa air, solat yang ditunaikannya tadi dengan bertayammum tidak perlu diulangi lagi. Hal ini berdasarkan hadis dari Abu Sa'id Al-Khudri dia berkata, Ada dua orang laki-laki keluar dalam suatu safar (perjalanan). Kemudian tiba waktu solat sedang tidak ada air bersama keduanya. Lalu keduanya bertayammum dengan tanah yang suci sekaligus solat. Tak lama kemudian, keduanya menjumpai air, maka seorang mengulangi wuduk dan solatnya, sedangkan seorang lainnya tidak mengulangi. Keduanya kemudian datang kepada Rasulullah S.A.W. serta menceritakan halnya, lantas sabda Nabi kepada yang tidak mengulangi solat, "Engkau telah mengikut sunnah dan solat sudah cukup." Sedangkan sabda beliau kepada yang mengulangi solat, "Engkau mendapatkan dua pahala."

No comments:

Post a Comment